loV3

loVv


Tuesday, April 12, 2011

Masalah Perut Kembung/Berangin


Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

Selepas makan tengah hari, walaupun hanya sedikit makanan dijamah, perut rasa kembung dan tidak selesa. Pinggang seluar terasa mencengkam sehingga ada kalanya kancing terpaksa dibuka supaya perut tidak terus terseksa.


Ini antara gejala yang biasa dialami akibat masalah banyak angin dalam saluran sistem pencernaan atau usus. Biasanya perut lebih lega jika angin dapat dikeluarkan sama ada melalui sendawa atau kentut.


Bagi kebanyakan masyarakat, sendawa di depan orang masih boleh diterima tetapi individu itu dianggap kurang sopan jika 'terlepas angin'. Bukan saja orang sekeliling berasa kurang senang tetapi individu itu sendiri turut malu dan mungkin menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayat!

Isu angin atau gas ini adalah isu semua orang, jadi tiada apa perlu dimalukan. Dianggarkan 7 atau 8 daripada 10 orang ada masalah ini.

Sistem Pencernaan

Secara purata kita menghasilkan antara 0.5 hingga 2 liter gas dalam sistem pencernaan setiap hari. Gas ini membabitkan beberapa jenis iaitu oksigen, karbon dioksida, nitrogen, hidrogen sulfida, ammonia dan metana.

Oksigen, karbon dioksida dan nitrogen yang masuk ke dalam sistem pencernaan melalui mulut (ketika kita menelan) adalah komponen paling besar. Gas ini tidak berbau tetapi bau kentut yang busuk disebabkan kehadiran gas surih seperti hidrogen sulfida yang terhasil apabila makanan di dalam usus mengalami proses pereputan.

Sendawa dan Kentut

Sendawa dan kentut adalah 2 fungsi badan yang penting untuk mengeluarkan gas ini, namun kebanyakan gas dikeluarkan melalui kentut. Yang membezakan ialah ada orang kentut lebih kerap.

Kentut antara 6 hingga 20 kali sehari adalah normal. Malah ada laporan mengatakan kekerapan kentut sehingga 25 kali sehari juga perkara normal walaupun ia mungkin mendatangkan rasa kurang selesa.

Gas yang terkumpul dalam perut dan usus dikeluarkan secara berperingkat sepanjang hari. Biasanya ia tidak menimbulkan masalah tetapi bagi individu yang sensitif, pengumpulan gas ini menyebabkan ketidakselesaan.

Perut Kembung

Jika gas ini tidak dikeluarkan, ia menyebabkan seseorang mengalami masalah kembung dan tidak selesa. Keadaan ini boleh menjejaskan daya tumpuan, prestasi kerja dan kualiti hidup. Masalah biasa dialami hampir kebanyakan orang, terutama wanita. Selain itu orang tua, pesakit kencing manis atau pesakit yang mengambil ubat yang boleh memperlahankan aktiviti usus juga kerap mengalami masalah ini.

Gas dalam usus datang daripada 2 sumber utama iaitu udara yang ditelan dan makanan. Setiap kali kita menelan, sedikit gas masuk ke dalam perut dan berpindah ke usus kecil yang mana sebahagian daripadanya diserap. Baki gas yang tidak diserap akan masuk ke dalam usus besar (kolon) dan dikeluarkan melalui dubur (rektum). Namun bagi sesetengah orang, angin yang masuk ke dalam perut tidak berpindah ke usus kecil atau besar, sebaliknya dikeluarkan melalui mulut (sendawa).

Biasanya masalah kembung atau sakit perut lebih terasa pada waktu tengah hari, terutama selepas makan, kerana makanan berlemak juga sebenarnya boleh merangsang kepada pengumpulan gas di dalam perut. Ini kerana lemak memperlahankan proses pengosongan perut dan membenarkan lebih banyak gas terkumpul, menyebabkan seseorang berasa kembung dan tidak selesa.

Punca Masalah Angin

Banyak faktor boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah angin berlebihan, antaranya :

* Tekanan — Individu yang tertekan/stres biasanya menelan lebih banyak angin.

* Kerap mengunyah gula-gula getah atau mengulum gula-gula yang keras.

* Merokok

* Makan atau minum terlalu cepat dan makanan ditelan sebelum ia lumat. Apabila kita makan terlalu cepat, kita tidak sedar menelan lebih banyak udara dan menyebabkan masalah sedia ada bertambah buruk.

* Gigi palsu tidak dipasang dengan baik juga menyebabkan seseorang itu menelan lebih banyak udara.

* Minum minuman berkarbonat. Kandungan karbon dioksida dalam minuman ini menghasilkan lebih banyak gas apabila ia menjadi hangat di dalam perut. Ia juga boleh disebabkan keradangan pada lapisan dalam perut atau gastritis. Banyak perkara boleh menyebabkan gastritis dan antara paling lazim ialah jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H pylori). Apabila bakteria ini masuk ke dalam perut, ia menyebabkan masalah kembung yang berpanjangan.

* Makan makanan yang banyak lemak kerana lemak mengambil masa lebih lama untuk dicerna dan memberi peluang banyak gas terkumpul dalam perut.

* Pemecahan makanan yang tidak tercerna - Bukan semua makanan diserap oleh badan. Sesetengah jenis karbohidrat, contohnya gula, kanji dan serat di dalam usus tidak dapat diserap akibat kekurangan atau ketiadaan enzim tertentu. Jadi makanan yang tidak diserap badan berpindah dari usus kecil ke usus besar yang mana bakteria baik memecahkannya dan menghasilkan gas hidrogen, karbon dioksida dan metana pada sesetengah orang. Semua gas ini akhirnya keluar melalui dubur.

Lagi info tentang PERUT KEMBUNG di sini.

No comments:

Post a Comment